5 Kesilapan Besar Yang Biasa Pelajar Pengajian Al Quran Buat

5 kesilapan besar mengaji 01

Saya sudah menceburkan diri dalam bidang belajar membaca Al Quran secara bertajwid ini lebih daripada 15 tahun.

Saya dapat lihat banyak kesilapan yang di buat oleh pelajar sama ada di usia belasan tahun mahupun yang sudah menjangkau usia 50an.

Saya harap anda dapat elakkan daripada membuat kesilapan yang sama.

Ini antara 3 kesilapan besar yang biasa di buat:

1.  Belajar membaca Al Quran tetapi tidak ‘bertajwid’

Ramai orang belajar membaca Al Quran di luar sana belajar sekadar boleh membaca sahaja dan TIDAK bertajwid.

Ini adalah satu kesilapan yang amat merugikan.

Mengapa?

Membaca Al Quran dengan tidak bertajwid adalah satu kesalahan.

Sungguhpun belajar ilmu tajwid adalah fardhu kifayah tetapi membaca Al Quran dengan bertajwid adalah fardu ‘ain iaitu wajib bagi setiap muslim mukallaf.

dalil-tajwid-1

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ‘BacalahAl Quran itu dengan bertartil (memelihara hukum tajwid),” surah Al Muzammil ayat 4.

Walaubagaimanapun, ada yang mengatakan, belajar mengenal dahulu kemudian baru belajar tajwidnya.

Tahukah anda bagaimana sukarnya mengubah bacaan mereka yang sudah biasa dengan bacaan tidak bertajwid kepada bacaan secara bertajwid sepenuhnya?

Saya mengajar mereka yang dewasa bermula daripada tidak mengenal huruf sekalipun secara terus bertajwid.

Alhamdulillah kini mereka boleh membaca Al Quran secara bertajwid dengan baik.

2.  Belajar ilmu tajwid secara ‘kelas’

Ini masalah besar.

Ramai pelajar sekarang membuat kesilapan ini.

Macam mana orang dewasa pelbagai latar belakang dapat belajar dengan berkesan jika ditempatkan mereka di dalam satu kelas pembelajaran?

Huruf masih belum kenal betul pun ada di dalam kelas itu.

Baca merangkak-rangkak putus-putus pun di dalam kelas itu juga.

Boleh baca tetapi tidak bertajwid pun di dalam kelas itu juga.

Penumpuan kepada masalah huruf, yang sudah boleh baca Al Quran akan boring.

Penumpuan kepada ilmu tajwid yang lebih tinggi berserta bacaan dengung dan tidak dengungnya, yang masih belum kenal betul huruf dan yang merangkak-rangkak bacaan akan terpinga-pinga.

Akhirnya, mereka katakan belajar membaca Al Quran dengan bertajwid ‘SUSAH’.  Apabila susah bermain di minda, jawabnya susahlah sampai ke sudah.

3.  Belajar ‘tahu’ ilmu tajwid BUKAN belajar boleh ‘aplikasi’ ilmu tajwid

Hari ini ramai yang belajar tahu ilmu tajwid.

Maksudnya anda tahu jika begini bacaannya 4 ke 5 harakat, jika begitu nama hukum tajwidnya itu, di baca dengan dengung sekadar 2 harakat, contoh-contoh bacaannya begini begitu dan sebagainya.

Tetapi…

Apabila membaca Al Quran, semua dilanggarnya.

Mengapa?

Kebanyakkan hanya belajar tahu hukum tajwid dan cara berlakunya tetapi tidak belajar untuk boleh aplikasikan dalam bacaan sebenar.

Contoh cara pembelajaran sebegini adalah:

Belajar ilmu tajwid secara kelas atau sekadar baca nota-nota ilmu tajwid.

4.  Belajar ‘ikut’ bacaan

HEBAT penangan Al Quran digital pada hari ini.

Persoalannya adakah:

Setelah belajar ‘ikut’ dengan Al Quran digital ini, adakah anda boleh membaca Al Quran sendiri dengan bertajwid di halaman yang belum anda ‘ikut’?

Adakah anda tahu kenapa di baca panjang sebegitu dan mengapa di baca dengung sebegini pada tempat-tempat tertentu atau tidak perasan pun apa qori itu sedang lakukan dalam bacaannya?

Al Quran digital sangat baik untuk anda ‘ikut’ untuk melatih kelancaran dan mendapat lenggok bacaan yang bagus.

Namun, jika jawapan anda TIDAK kepada 2 persoalan di atas, anda perlu belajar ilmu bacaan Al Quran secara bertajwid.

5.  Belajar secara intensif atau mahu cepat

Berpada-pada.

Berhati-hati dengan pelbagai gimik untuk menarik perhatian anda.

Belajar cepat atau banyak dalam satu jarak masa yang pendek akan menyebabkan anda menjadi kusut atau dipanggil ‘haywire’.  Anda akan keliru semasa aplikasi bacaan bertajwid semasa membaca Al Quran.

Kekeliruan ini akan berterusan.

Pilihlah kaedah yang cepat dan efektif.  Tak cepat pun tak apa, asalkan efektif semasa membaca Al Quran.  Tidak ada gunanya cepat tetapi apabila membaca Al Quran, suka-suka sahaja langgar hukum tajwid dan sebutan huruf yang betul.

 

Ini adalah perkara-perkara yang diselesaikan oleh pendekatan pengajian “Kaedah Abata” yang di jalankan secara personal.

Berminat dengan pengajian ‘Kaedah Abata”? Daftar Sini Sekarang