Kisah benar

 

MATI SEBELUM HAJAT PANDAI MEMBACA QURAN SECARA BERTAJWID TERCAPAI

 

Sedih kisah sahabat saya ini, apa pula kisah hidup sebelum mati anda?

Hi As salamu alaikum wbt

Salam perkenalan daripada saya, Ustaz Ahmad Saipuddin Saat.  Semoga anda semua mendapat pelajaran yang tiada nilainya daripada kisah benar saya ini.

Kisah benar ini aku nukilkan sebagai peringatan dan pelajaran untuk sahabat-sahabat yang aku sayangi.  Sama ada sahabat sekampung, sahabat sewaktu sama-sama satu sekolah, sahabat satu universiti dan sahabat yang pernah satu tempat kerja juga sahabat FB ku.  Dan tidak lupa juga yang bakal menjadi sahabat ku.

 

BAHAGIA

bahagia

Sahabat ku, Azman ini aku kenalinya sejak bersekolah menengah lagi.  kami sama-sama satu sekolah.  Sekolah Menengah Kg. Bukit Condong.  Beliau seorang pengawas tingkatan 4 sementara aku baru sahaja tingkatan 1 waktu itu.  Seorang yang sangat pandai dalam bidang perbahasan.  Aku menjadi salah seorang peminatnya kerana beliau begitu petah dalam mematahkan hujah lawan.  Entah berapa kali bulu-bulu tengkuk ku meremang apabila mendengar ucapan mematahkan hujah lawan yang dilontarkan oleh beliau.  Tidak hairanlah sekolah menengah kampung ku waktu itu menjadi naib johan perbahasan peringkat negeri. Hebatkan!

Sungguh aku bahagia menjadi salah seorang sahabatnya.  Orang popular di sekolah… katakan… Terima kasih Ya Allah kerana memberi aku peluang bersahabat dengan beliau.

Aku pernah ke rumahnya di kampung sebelah, tidak berapa jauh dari rumah ku.  Dan aku pernah juga makan bersama-sama keluarga beliau.  Aku bahagia bersahabat dengan beliau.

 

TERPUTUS

terputus

 

Setelah beliau tamat tingkatan 5 pada tahun 1987, aku terputus hubungan dengan beliau.  Zaman itu mana ada telefon tangan maka kami terpisah begitu sahaja.  Sedih dan rindu juga saat-saat kami pernah makan dan menghabiskan masa bersama.  Aku pula berpindah ke sekolah teknik selepas mendapat keputusan SRP.   Alhamdulillah dan terima kasih ya Allah kerana memberi aku keputusan yang cemerlang.  Bersama sahabat-sahabat baru, aku sedikit demi sedikit terhakis rindu terhadapnya.

Keputusan SPM ku keluar pada tahun 1989, Alhamdulillah aku gembira sangat kerana mendapat tawaran ke matrikulasi Universiti Sains Malaysia (USM) dan seterusnya mengambil aliran Kejuruteraan Bahan (Materials Engineering).  Di pendekkan cerita, aku graduate pada tahun 1996 sebagai seorang jurutera.

 

BAHAGIA BERSUA KEMBALI

sambung kembali

Syukur sangat, waktu itu belum pun sempat ambil ijazah secara resmi lagi, syarikat besar di Shah Alam telah mengambil aku bekerja.  Selama beberapa minggu bekerja, aku bersua kembali dengan Azman sahabat baik ku dahulu.  Aku semacam tidak percaya bahawa beliau juga berkhidmat di situ sebagai seorang processor. Ya claim processor dan beliau bermula dari bawah.

Kami bersahabat kembali, cuma kali ini tidak seperti dahulu kerana beliau telah pun berumah tangga dan mempunyai seorang anak.  Tanggungjawab sudah berbeza.  Tambahan beliau terus belajar secara out campus pada hujung minggu demi menaikkan diri beliau.  Sebuah ijazah Business Management menjadi buruan yang akhirnya beliau berjaya menggenggam ijazah tersebut.  Tahniah! aku turut menumpang rasa gembira atas kejayaan beliau.

 

BELAJAR MENGAJI

aku belajar mengaji

Aku masih bujang.  Setahun aku bekerja di sana, kerja pagi balik petang dan esoknya pun begitu juga melalui hari-hari yang hampir sama keadaannya setiap hari.  Hujung minggu pula lepak, riadah dan kadang-kadang berkhemah bersama sahabat-sahabat.

Suatu hari, teman sepejabat mahu menganjurkan kelas mengaji secara bertajwid di tempat aku bekerja.  Beliau membuat ‘survey’ rambang bertanyakan sahabat-sahabat lain termasuk aku, adakah kami mahu menyertai kelas tersebut jika benar-benar diadakan nanti.  Tahu akan kelemahan diri, sungguhpun status sebagai engineer (kononnya laa..) aku rendahkan diri bersetuju mahu mengikuti kelas pengajian bertajwid bersama-sama budak bawah atau di panggil juga sebagai non-executive di tempat aku bekerja.

Hanya sebahagian kecil sahaja executive yang mengikuti kelas pengajian ini.  Seingat aku tiada seorang pun yang berpangkat assistance manager, dan manager ke atas mengikuti kelas pengajian ini.  Mereka sudah pandai mengaji secara bertajwidkah? Malukah? Sombongkah?  Aku tidak dapat menjawab persoalan itu dan sebenarnya aku tidak perlu jawab pun buat masa ini.  Apa yang penting aku tahu kelemahan diri aku dan aku mesti ambil peluang pergi belajar.  “Mahu tunggu bila lagi?”  Tanya aku pada diri sendiri.

Mula sahaja kelas pengajian, aku akan peruntukkan masa sepenuhnya untuk kelas mengaji.  Apa-apa program yang masuk pada hari kelas pengajian akan ku tolak.  Aku sungguh-sungguh ingin pandai.  Aku mohon ya Allah, Engkau permudahkanlah urusan ku.

Pada masa yang sama, sedang aku belajar aku tidak lupa selalu mengajak Azman, sahabat baik ku itu untuk sama-sama ikut sekali belajar mengaji setiap kali berjumpa beliau.  Beliau menolak dengan baik atas alasan beliau perlu menumpukan pada pengajian ijazah out campusnya bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dahulu.  “Setelah habis pengajian ijazah out campus ku di UiTM nanti, aku ikut in shaa Allah.” katanya.

 

AKU MENGAJAR MENGAJI

Mengaji Personal Coaching Kaedah Abata

Setelah 96jam kredit iaitu kira-kira 2 tahun lebih, alhamdulillah aku boleh dikatakan mahir membaca Al Quran dan boleh menguasai ilmu tajwid secara teori dan praktikal.  Teori ilmu tajwid mungkin aku boleh katakan agak mudah tetapi praktikal memasukkan ilmu tajwid di dalam bacaan adalah tidak mudah sebenarnya.  Part praktikal membaca Al Quran secara bertajwid inilah sebenarnya ramai yang ‘lemas’.

Alhamdulillah, syukur pada Allah swt, aku lulus cemerlang ujian bertulis dan praktikal bacaan yang di adakan oleh pusat pengajian.  Oleh yang demikian, aku di minta oleh guru ku, seorang warga Indonesia untuk membantu beliau mengajarkan Al Quran khusus untuk golongan dewasa.  Waktu ini aku makin tahu bahawa ramainya golongan dewasa yang tidak tahu membaca Al Quran dengan tajwid yang betul malah ada yang ‘kosong’ tidak tahu membaca Al Quran.  Bimbang dan sedih.  Terdetik di hati, aku mesti tolong mereka!

Dalam masa yang sama, aku tidak lupa akan Azman.  Setiap kali berjumpa dengannya aku akan cuba menyatakan dengan berhati-hati akan hajatnya untuk pandai membaca Al Quran dengan baik tercapai.  Yalah, bimbang juga akan timbul kebencian dalam dirinya walaupun apa yang ingin aku sampaikan itu berniat baik.  Kalau dah selalu cakap benda yang sama, lama-lama akan timbul rasa menyampah.  Betul tak? Sungguhpun kawan baik yang berniat baik.

Sambil mengajar aku tidak lupa untuk upgrade diri.  Yalah, seorang engineer mengajarkan Al Quran dengan bertajwid sepenuhnya, adakah orang percaya?  pasti ada yang ragu-ragu bukan?  Sama juga keadaannya seorang ustaz membuat plan dan meminta JKR untuk diluluskan.  Betul tak?

Maka, hari ini berkat pembelajaran berterusan aku mempunyai tauliah mengajarkan Al Quran secara bertajwid oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), mendapat sanad bacaan Al Quran oleh Sheik Abdullah daripada Yaman di Yayasan Restu Shah Alam dan susunan pembelajaran pengajian ku mendapat sokongan dan pengiktirafan oleh Jabatan Mufti Selangor (JMS), Kementerian Dalam Negeri Bahagian Teks Al Quran (KDN), Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).  Sedikit sebanyak ada juga liputan dari media cetak dan media elektronik.  Alhamdulillah dan terima kasih ya Allah atas semua ini bukan aku yang melakukan semua ini tetapi ia adalah daripada rahmat dan kasih sayang Mu.

 

QURAN TRANSILASI RUMI DAN QURAN DIGITAL

Quran rumi

Azman masih belum mengikuti kelas pengajian.  Walaubagaimanapun, beliau ada memberitahuku bahawa beliau ada membeli Quran Transilasi Rumi (tulis rumi untuk di baca arab) dan juga Quran Digital.

“Alhamdulillah, bagus.  Dan untuk sementara ni kau boleh belajar berpandukan kepada dua Quran yang kau beli tu.  Tapi jangan lupa untuk mengikuti kelas pengajian selepas ni ya” kata ku pada beliau.

Beliau masih tidak mengikuti kelas pengajian sebaliknya ada menyatakan pada ku bahawa kenapa sebutan oleh Qori Quran Digital tak sama bunyi macam yang ditulis oleh Quran Transilasi Rumi yang beliau beli itu.  “Lain macam sungguh bunyi bacaan pak arab tu berbanding tulisan rumi tu, macam salah sungguh sebutannya”, kata beliau kepada ku.  “Ya, memang macam tu, sebab banyak bunyi sebutan arab tak masuk dengan ejaan tulisan rumi”, kata ku kepada beliau.

“Kalau aku ikut Quran Digital ni sahaja pulak, aku boleh ikut bacaan qori dan hafal, tepat ke tidak sebutan aku pun tak pasti,  yang pasti bila aku nak baca sendiri kat tempat yang aku belum pernah ikut bacaan qori, aku tak boleh”, kata beliau lagi.  “Ya, memang macam tu, sebab Quran Digital lebih kepada ajar meniru bacaan qori sahaja.  Kau tak belajar dan tak tahu kenapa qori tu dengung kat situ, tak dengung kat sini, mengatur bacaan panjang pendek di sana sini.  Kalau kau tak belajar cara nak mengatur semua tu memang tak mudah bila kita nak baca quran sendiri-sendiri.  Itu yang bila baca sendiri jadi macam-macam keluar tu”, kata ku kepada beliau.

Walaubagaimanapun, aku ada menyatakan kepada beliau bahawa kedua-dua Quran yang beliau beli tersebut adalah bagus dan boleh dijadikan alat bantu dalam pembelajaran tetapi tidak boleh bergantung sepenuhnya 100%.

 

MATI BERSAMA HAJAT TAK KESAMPAIAN

mati sebelum hajat tercapai

Aku terkejut dan sangat sedih apabila pada suatu hari aku menerima berita kemalangan yang menimpa Azman, sahabat baik ku itu ketika beliau dalam perjalanan pulang ke kampung di malam hari.  Beliau meninggal di tempat kejadian bersama-sama isteri dan seorang anaknya.  Sementara seorang lagi anaknya yang bungsu cedera parah dan dikejarkan ke hospita.  Esoknya berita kemalangan ngeri tersebut terpampang di dada akhbar.

Aku tidak dapat memaafkan diri ku.  Azman meninggal dalam keadaan beliau masih belum dikatakan boleh membaca Al Quran.  Beliau meninggal sebelum hajat pandai membaca Al Quran beliau tercapai.  Aku tidak tahu bacaan Al Fatihahnya, aku tidak tahu sahkah solatnya.  Ya Allah, Kau ampunilah beliau ya Allah.  Mengapa aku terlalu leka, tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengajar beliau dan aku membiarkan beliau dengan kesukaran bersama Quran Transilasi Ruminya, bersama Quran Digitalnya.  Ya Allah ampuni aku ya Allah.  Ampuni aku…

 

KISAH INI KISAH BENAR ANDA JUGA

anda

Terima kasih kerana membaca kisah benar ku ini.  Anda boleh menganggap bahawa ‘Aku’ di dalam kisah benar ini adalah diri anda.  Dan ‘Azman’, sahabat baik ku di dalam kisah benar ini juga, anda boleh anggapkan dia adalah diri anda.  Sementara masih ada umur, ambil peluang untuk mula belajar pada hari ini atau anda masih mahu bertangguh yang akhirnya menjadi diri anda seorang yang “Mati Sebelum Hajat Pandai Membaca Al Quran Tercapai”. Na’uzubillaah hi minzaalik.

 

 

KLIK SINIUntuk Mulakan Langkah Belajar Mengaji Anda Sekarang!..